Isnin, 19 Februari 2018

MEROYAN




Gejala kemurungan lepas bersalin sering berlaku terhadap golongan ibu terutama yang kali pertama melahirkan anak. Ada yang menyebut sebagai penyakit gila meroyan.

Gila meroyan
Mengikut ilmu perbidanan Melayu, meroyan atau merian hendaklah diberi perhatian kerana penyakit itu akan berlarutan seumur hidup sekiranya dibiarkan tanpa rawatan.

Satu punca penyakit berkenaan adalah darah bantal yang tidak keluar dengan sempurna atau teratur, yang seterusnya akan terjadi darah beracun. Darah beracun ini akan menguasai urat saraf dan mengganggu keseimbangan hormon wanita.

Meroyan dikenali dalam kalangan ahli perubatan sebagai Postpartum depression (PPD) satu bentuk kemurungan klinikal (clinical depression) yang menjejaskan wanita, dan kadangkala lelaki selepas melahirkan anak.

Kajian menunjukkan kadar insiden berlaku dalam kalangan wanita antara lima hingga 25 peratus, tetapi perbezaan metodologi antara kajian menjadikan kadar berlaku sebenar tidak jelas.

Perunding Psikiatri Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) Dr Shane Varma berkata antara punca utama PPD adalah masalah psiko sosial seperti tiada sokongan daripada suami, ibu tunggal, kehamilan yang tidak dirancang/dikehendaki, masalah kewangan, tekanan hidup, tekanan penjagaan anak, tiada sokongan masyarakat dan sebagainya.

“Antara faktor dikenal pasti menyumbang terhadap perkara di atas ialah sejarah keluarga yang pernah menghidap kemurungan, tidak menyusukan anak dan beberapa faktor lain.
“Antara simptom awal boleh dilihat ialah sedih berterusan, hilang selera makan, cepat letih, tidak yakin dan rasa bersalah serta mudah marah,” katanya ketika ditemui di hospital itu baru-baru ini.

Menurut Shane, selain PPD ada juga jenis kemurungan lain dikenali sebagai kelesuan postpartum (postpartum exhaustion- PPE).

“PPE disebabkan kurang tidur bercampur pertukaran hormon dalam tubuh wanita selepas melahirkan anak dan boleh menjadi sederhana atau teruk.

“Kebanyakan kes mendapati wanita dengan bayi yang mengalami kembung teruk atau punca asas yang mengakibatkan jadual tidur yang tidak normal. Tidak sama seperti PPD, tetapi boleh dikelaskan sebagai sebahagian meroyan.

“Rawatan perubatan adalah minimum. Boleh berlaku antara sehari hingga 20 hari dan akan kembali seperti sediakala selepas mendapatkan tidur yang cukup,” katanya.

Postpartum psychosis (gangguan mental serius pasca kelahiran) pula adalah sakit jiwa berasingan membabitkan terpisah sepenuhnya daripada alam nyata. Ia adalah yang paling berbahaya berbanding PPD dan PPE kerana membabitkan simptom seperti delusi, halusinasi, bercakap seorang diri dan berkhayal.

“Postpartum psychosis boleh berlaku rentetan daripada PPD atau tercetus secara tiba-tiba dalam tempoh empat hingga enam minggu selepas bersalin.

“Individu yang ditimpa gejala ini akan mula bersikap ganjil, berhalusinasi, meracau, mempunyai delusi pemikiran dan bertindak secara impulsif.

“Postpartum psychosis adalah isu kejiwaan yang ekstrem dan mempunyai risiko yang tinggi membunuh diri dan membunuh bayi berbanding fenomena lain,” katanya.

Beliau menambah, diet dan nutrisi yang sempurna serta penyusuan susu ibu demi kelangsungan kestabilan emosi sangat penting dan menguatkan ikatan kasih sayang antara ibu dan anak.

“Makanan berkhasiat penting untuk ibu selepas bersalin. Guna saluran tertentu untuk menzahirkan emosi seperti berbicara dengan orang tersayang, ahli keluarga, sahabat dan jangan sesekali mengasingkan diri.

“Bagi golongan Muslim pula, jangan lupa aspek rohani. Perbanyakan membaca al-Quran dan berzikir supaya hati sentiasa tenang dan terhindar daripada perkara yang tidak baik,” katanya.

Jenis penyakit meroyan mengikut kepercayaan masyarakat Melayu

1. Meroyan Api
Ibu akan menjadi bengis, baran, cepat marah hingga tahap menjerit dan lupa diri.
Perubahan mood yang ketara.
Perubahan sikap lebih ketara ketika datang bulan.
.
2. Meroyan Ketung
Ibu menjadi murung, hiba, sayu, mudah menangis, perasan (sensitif).
Kebanyakan berlaku kepada ibu yang kehilangan anak.
Ada kes sehingga membunuh diri.
.
3. Meroyan Urat
Ibu mengalami ketegangan urat sarat sehingga sentiasa mengeraskan diri seperti mengalami kekejangan otot.
Selalu berlaku ketika cuaca sejuk, atau jika ibu tersilap makan benda yang bersifat sejuk.
Berlaku kepada ibu yang melakukan kerja berat atau banyak menggunakan urat besar sejurus lepas bersalin.
.
4. Meroyan Lendir
Ibu sentiasa pucat, lesu, mata pudar, keguguran rambut dan badan menjadi susut.
Keguguran rambut yang melampau.
Mengalami masalah dingin seks terhadap pasangan.
Penyebab utama apabila darah kotor dan angin jahat di dalam tubuh tidak dikeluarkan sepenuhnya sepanjang tempoh berpantang.
.
5. Meroyan Tinggal
Ibu tiba-tiba asyik berleter, bercakap seorang diri dan mengambil peluang melarikan diri dari rumah.
Ibu mungkin tidak mahu bayinya sendiri.
Ada tahap sehingga menjadi ganas.
.
6. Meroyan Bulu
Ibu sentiasa seram sejuk selepas bersalin.
Jika berlarutan, ibu akan mula menghidap rheumatoid arthiritis atau keradangan sendi.
Ini berlaku apabila ibu banyak bermain air dan bersejuk ketika berpantang.
.
7. Meroyan Kulit
Ibu akan berasa gatal serta miang seluruh badan dan tergaru-garu seperti kera.
Ia berlaku disebabkan darah kotor tidak habis keluar menyebabkan kekotoran keluar melalui liang roma peluh.

Ini akan berterusan jika darah nifas tidak habis dikeluarkan sepanjang tempoh berpantang.
Semoga dijauhkan

#JAMUSERIPEMIKAT


Tiada ulasan:

Catat Ulasan